Tag Archives: Masjid Saidina ABu Bakar

Masjid Abu Bakar As-Siddiq sambut jubli perak

SEMPENA sambutan jubli perak penubuhannya, Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar, Kuala Lumpur, menganjurkan pelbagai program bertujuan mengajak ahli kariah mengunjungi serta menyertai program mengimarahkan masjid.

Lima program direncanakan bermula 3 Julai hingga 8 Ogos depan sebagai mengiktiraf usaha pihak pengurusan serta ahli kariah memajukan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar selama 25 tahun sebagai pusat menyatupadukan masyarakat melalui pendekatan agama.

Program berkenaan ialah Majlis Membaca Yasin, tahlil dan doa selamat, hari keluarga dan mini ekspo, pertandingan golf mesra, forum perdana dan majlis makan malam amal.

Pengerusi masjid, Datuk Nik Farid Kamil, berkata selain membawa ahli kariah ke masjid pihaknya turut meluaskan jemputan kepada 10 surau di bawah pengurusan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar serta semua masjid di sekitar Lembah Pantai.

Katanya, sambutan 25 tahun Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar bukan sekadar meraikan ulang tahun penubuhannya tetapi untuk membawa ahli kariah bersama-sama menjayakan program yang dianjurkan untuk mereka.

“Kami mahu ahli kariah dan masyarakat berhampiran datang ke masjid untuk mendapat manfaat daripada program yang dianjurkan selain menanam semangat cintakan masjid terutama kepada generasi muda.

“Masjid bukan sekadar tempat beribadat kerana sebagai institusi penting umat Islam, masjid menjadi pusat sumber ilmu. Justeru, pentadbiran dan pengurusan yang cekap membantu memastikan ahli kariah mendapat kebaikan daripada program yang dianjurkan,” katanya.

Nik Farid berkata, pembinaan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar diluluskan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn pada 25 Julai 1977 atas permintaan penduduk setempat yang ketika itu amat memerlukan masjid sebagai tempat beribadat dan perkumpulan umat Islam.

Proses pembinaan masjid berkenaan dimulakan pada 18 Julai 1980 dan siap sepenuhnya pada 27 Mac 1982. Solat Jumaat pertama dilaksanakan pada 9 April 1982 dan diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika itu, Allahyarham Tan Sri Sheikh Mohsein.

Perasmian Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong Ketujuh, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar pada 15 Julai 1982.

Walaupun sambutan jubli perak masjid itu sepatutnya disambut 14 Julai tahun lalu tetapi disebabkan beberapa perkara tidak dapat dielakkan, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan untuk meraikan peristiwa penuh bersejarah tahun ini.

Hari Keluarga yang diadakan hari ini di pekarangan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, ekspo jualan serta pameran oleh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, sukaneka, pertandingan kemahiran dan kesenian.

Sementara Forum Perdana bertajuk Masjid Sebagai Institusi Masyarakat diadakan pada 12 Julai depan di dewan solat masjid menampilkan ahli panel terdiri daripada Pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor, Mohd Farid Ravi Abdullah; Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Norhafizah Musa dan Ketua Imam Masjid SABA Bangsar, Hazman Hashim.

Majlis Makan Malam Amal yang dijadualkan 8 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertujuan mengumpul sumbangan untuk pembinaan masjid perkampungan orang asli di Kampung Tuil, Gua Musang, Kelantan.

Nik Farid berkata, Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar memang aktif dalam usaha mengembangkan syiar Islam melalui aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan untuk umat Islam, kaum ibu serta remaja.

Katanya, pengurusan berkesan yang dilaksanakan membolehkan masjid berkenaan dianugerahkan sebagain Masjid Terbaik Kategori Masjid di Wilayah Persekutuan sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan tahun ini.

“Hasrat kita untuk terus memajukan masjid dan meramaikan jemaah serta meningkatkan mutu pengurusan. Di harap matlamat itu dapat dicapai dengan kerjasama daripada ahli kariah kerana institusi masjid adalah institusi masyarakat,” katanya.

dipetik dari Berita Harian, 5 Julai, 2008