Keunikan Masjid Hiliran

dipetik dari Utusan Malaysia

PINTU gerbang utama menyambut jemaah yang hadir ke Masjid Hiliran, Kuala Terengganu. – UTUSAN/WAN RAMLI


KUALA TERENGGANU 1 Mac. – Sebagai antara negeri terawal menerima pengaruh Islam seperti yang dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat, Terengganu mempunyai beberapa masjid yang kini sudah tua, berseni dan bersejarah.

Salah sebuah masjid berkenaan ialah Masjid Hiliran yang terletak di Jalan Hiliran di sini.

Selain pernah menjadi sekolah Arab yang pertama di negeri ini, Masjid Hiliran juga mempunyai keunikan tersendiri yang mungkin tidak diketahui masyarakat.

Keunikan tersebut ialah kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).

Menurut cerita lisan penduduk setempat, telaga itu dibina menggunakan putih telur, madu lebah, pasir, kapur tohor dan batu-bata.

Alkisah, pembinaan telaga itu bertujuan untuk memandikan gajah putih kepunyaan Sultan Zainal Abidin III yang dihadiahkan oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn sebagai tanda persahabatan sempena lawatan baginda dan para pembesar negeri ke Siam.

Telaga bersejarah itu kini dikelilingi benteng konkrit dan pada dindingnya diletakkan sebuah tempayan yang digunakan sebagai tempat gajah menyedut air untuk dijiruskan ke badannya.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohamad Yusof Abdullah ketika ditemui memberitahu, berdasarkan catatan sejarah, Masjid Hiliran telah wujud di antara zaman Sultan Terengganu pertama dari salasilah Johor iaitu Sultan Zainal Abidin I (7108-1733), Sultan Mansur I (1733-1794) dan Sultan Zainal Abidin II (1794-1808).

Katanya, hasil kajian Kampung Hiliran yang menjadi tapak Masjid Hiliran pada zaman dahulu diberi nama tersebut kerana di kawasan itu terdapat satu aliran sungai yang bertemu dengan hilir Sungai Terengganu.

”Pada zaman dahulu, aliran sungai yang dikenali sebagai Sungai Sri Nilam adalah sungai yang besar dan menjadi laluan utama peniaga dari kampung berhampiran menuju ke Pasar Besar Kedai Payang di kuala Sungai Terengganu.

”Sungai Sri Nilam ketika itu luas dan dalam sehingga perahu besar (kapal tradisional Terengganu) dapat berlabuh bahkan Kampung Hiliran juga dijadikan tempat persinggahan untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perdagangan,” ujarnya.

Namun, katanya, sekarang semua itu sudah berakhir dan kini tinggal hanya satu aliran sungai yang menyerupai aliran parit.

Mengulas lanjut Mohamad Yusof menceritakan, apabila masa berlalu, kampung tersebut dipecahkan kepada beberapa buah kampung.

Antara kampung tersebut yang masih kekal menggunakan perkataan ‘hiliran’ ialah Kampung Hiliran, Kampung Hiliran Jejawi, Kampung Hiliran Telaga Parit dan Kampung Hiliran Masjid.

Menurutnya, penamaan Kampung Hiliran Masjid adalah berdasarkan bahawa masjid adalah ciri utama bagi kawasan atau kampung itu.

Mengenai sejarah Masjid Hiliran, Mohamad Yusof berkata, pada asalnya masjid itu dibina daripada kayu sehingga tahun 1925 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sebelum ia dibina semula dengan gandingan kayu, simen dan batu.

Katanya, walaupun tarikh rasmi pembinaan masjid lama tidak dipastikan tetapi dipercayai ia dibina lebih 200 tahun lalu.

Selepas sekian lama, memandangkan masjid itu sudah terlalu usang, seorang alim dan hartawan tempatan, Muhammad Abdul Rahman membiayai semua kos pembinaan masjid di tapak asal masjid lama.

Uniknya masjid ini kerana atapnya berbeza dengan reka bentuk utama masjid di rantau Nusantara yang berunsur potong bawah (kubah), sebaliknya ia berasaskan bentuk bumbung limas potong perak iaitu salah satu seni bina Melayu terkenal.

Justeru, beliau adalah pengasas wajah baru Masjid Hiliran dan untuk mengimarahkannya, beliau menjemput beberapa ulama tempatan dan bukan tempatan untuk mengajar agama di masjid itu.

Pada awal pembinaan Masjid Hiliran ditadbir sendiri oleh Muhammad Abdul Rahman dan ahli keluarga, bahkan beliau melantik imam dan bilal.

Muhammad adalah seorang hartawan yang mempunyai rangkaian perniagaan di Thailand, Singapura dan Indonesia. Perniagaan beliau berasaskan barangan tekstil, kayu-kayan, rempah-ratus dan sebagainya.

Harta wakaf yang berkaitan dengan Masjid Hiliran diurus dan ditadbirkan oleh Muhammad dan ahli keluarga dan antara yang memberi sumbangan ialah anak beliau Muhammad Salih @ Haji Su.

Pada akhir tahun 1930an, di samping kuliah pihak masjid juga telah mengadakan kelas agama dan bahasa Arab di ruang khas masjid yang dinamakan Balai Lintang.

Kelas dibuka kepada remaja. Masjid pernah mengambil dua guru dari sebuah madrasah di Bukit Mertajam iaitu Ahmad Fuad dan Ahmad Zaki.

Setelah kelas ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai ia dipindahkan ke tapak baru Sekolah Agama al-Khairiah.

Pada tahun 1942, Muhammad kembali ke rahmatullah dan anaknya Haji Su menggantikan tempatnya sebagai pentadbir Masjid Hiliran.

Selanjutnya setelah Haji Su meninggal dunia pada tahun 1952, pentadbiran masjid diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

Bagi setengah orang masjid ini dianggap sekolah Arab pertama di Terengganu dan dengan kata lain Masjid Hiliran telah menempa sejarah dalam pendidikan Islam di Terengganu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s