Keunikan Masjid Lama Mulong

MASJID Lama Mulong kini dalam proses pemuliharaan oleh Jabatan Warisan Negara dan dijangka siap sepenuhnya Mei depan. – UTUSAN/AZMA HANIM MAHMOOD



dipetik dari Utusan Malaysia

KOTA BHARU 18 Mac – Seimbas pandang dari luaran, Masjid Lama Mulong, terletak hampir 10 kilometer dari bandar ini hanyalah sebuah masjid biasa yang kecil dan sudah dimamah usia serta mungkin menunggu masa untuk roboh.

Namun tidak ramai yang menyedari, masjid yang tidak lagi diwartakan untuk solat Jumaat itu disenaraikan sebagai Bangunan Warisan Negara, satu monumen yang akan terus dipulihara untuk kegunaan dan tatapan generasi akan datang.

Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Datin Paduka Zuraina Majid baru-baru ini mengumumkan ia adalah antara 11 bangunan bersejarah di seluruh negara yang diberi tumpuan untuk baik pulih sepanjang tahun ini.

Projek ini telah bermula sejak 23 Oktober 2008 dan ia dijangka siap sepenuhnya Mei depan. Setelah sekian lama dalam keadaan agak terabai, tindakan proaktif ini memberi jaminan ia akan berkekalan.

Sebenarnya masjid kayu yang didirikan tanpa paku selain sambungan tanggam dan pasak pada era 50-an itu, mengetengahkan keunikan warisan silam seni bina Melayu Kelantan yang kini amat jarang dapat disaksikan.

Walaupun reka bentuk binaannya agak ringkas, ciri-cirinya biasa kedapatan di istana dan kediaman golongan bangsawan di negeri ini pada masa silam yang menonjolkan kepakaran tukangnya.

Ia boleh dilihat pada struktur keseluruhan bangunan, pada bahagian dinding, pintu, tiang dan ruang atap walaupun bahagian yang berukir hampir tiada.

Asalnya daripada bahan binaan istana di Balairung Seri Raja Dewa di bandar ini yang dibangunkan pada awal 1900, dirombak dan dibina semula sebagai masjid di bahu jalan atas tanah wakaf Abdul Rahman Ismail dan dikenali sebagai Masjid Ar-Rahman.

Penduduk kampung berpakat menghulurkan derma untuk menyiapkannya dan masjid seluas 23 kaki kali 55 kaki yang boleh memuatkan lebih 100 jemaah mula digunakan pada penghujung 1958.

Menurut pengurus tapak projek pemuliharaan itu, Hamdan Hassan, masjid lama ini unik kerana antara lainnya ia dibina tanpa tiang seri atau tiang tengah.

“Binaan ini dahulunya adalah sebuah balairung istana. Sebab itu ia dibina tanpa tiang tengah. Strukturnya dikukuhkan dengan 16 batang tiang di sekeliling masjid,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dari sudut kejuruteraan moden, binaan tanpa tiang tengah dibimbangi tidak tahan lama tetapi kepakaran generasi awal dahulu dalam bidang pertukangan membuktikan sebaliknya.

Hamdan berkata, masjid ini juga berlainan dengan binaan tradisional Kelantan yang lain dengan lantainya tidak disokong oleh ‘rasuk panjang’.

”Apa yang ada hanyalah rasuk melintang dan lantai disokong oleh 32 kayu penyokong berbentuk kaki cermin.

“Biasanya sebuah rumah tidak memerlukan kayu penyokong atau ‘tongkat’ yang sebegitu banyak. Tetapi ketiadaan ‘rasuk panjang’ menyebabkan perlunya kepada bilangan tongkat sedemikian,” kata Hamdan lagi.

Projek pemuliharaan binaan berusia lebih 100 tahun ini melibatkan proses mencerap kayu, mengikis lapisan cat pada tiang, dinding dalam dan luar, panel janda berhias, jejala dan motif serta menukar bata asbestos bumbung kepada batu jenis singgora Thailand.

Pemuliharaan masjid ini juga mencatat sejarah apabila ia melibatkan peralihan masjid dari tapaknya yang asal berikutan masalah berkaitan keluasan tanah wakaf yang sebenar.

“Kami gerakkan masjid ini ke depan sejauh 21 kaki ke sisi kanan sebanyak 11 kaki dengan menggunakan kaedah chain-lock.

”Secara berhati-hati juga, kaki-kaki tiang masjid diangkat naik ke atas dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya,” jelas Hassan.

Hamdan berkata, persiapan untuk proses pergerakan tersebut memakan masa selama lapan hari dan dua hari diperlukan untuk menariknya.

Semasa pekerja mengikis cat yang telah disapu oleh orang sebelumnya ke atas panel ‘janda berhias’ atau dinding asal balairung, mereka terjumpa ukiran awal berbentuk bunga atas kepingan-kepingan panel tersebut.

“Ukiran bunga ini akan dikekalkan agar sejarah asal balairung tidak hilang,” kata Hamdan.

Ciri uniknya diperkukuhkan dengan sisip angin berukir geometrik bagi memudahkan pengaliran udara yang menyejukkan ruang dalaman dan buah guntong pada siling menggantikan tiang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s