Imarahkan Masjid Lama Mulong

Masjid Lama Mulong menjadi kebanggaan bukan kerana fungsinya sahaja tetapi keunikan reka bentuknya. Gambar kecil: Bekas Balairung Seri Istana Raja Dewa Tuan Zainal Abidin yang dijadikan Masjid Lama Mulong.



KOTA BHARU 17 Julai – Selepas lapan bulan mengalami proses baik pulih, Masjid Ar-Rahman atau Masjid Lama Mulong muncul dengan wajah silamnya yang indah dan dibuka untuk diimarahkan semula baru-baru ini.

Dalam acara serba sederhana mengikut peradaban Islam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyempurnakan majlis perasmian bangunan warisan itu.

Majlis bermula apabila Rais bersama lebih 100 jemaah lain menunaikan solat isyak berjemaah di atas tapak bangunan seluas 116 meter persegi yang kemudiannya diserikan dengan bacaan al-Quran daripada qari jemputan.

Bagi Rais, Masjid Lama Mulong patut menjadi kebanggaan segenap lapisan penduduk setempat bukan kerana fungsinya sahaja tetapi keunikan reka bentuknya yang menggabungkan pelbagai unsur seni bina Melayu Kelantan bersama unsur binaan Cina.

”Entah tangan tukang mana yang telah bertungkus-lumus mengukir jejala di kanan dan kiri masjid. Jika diperhatikan betul-betul, saya dapati ia saling tak tumpah dengan ukiran yang saya dapat lihat semasa melawat masjid-masjid di China.

”Mungkin ia petunjuk bahawa negeri Kelantan ini dahulu bersamudera terus dengan China Yunan dan tamadun-tamadun lain,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Masjid Lama Mulong merupakan bekas Balairung Seri Istana Raja Dewa Tuan Zainal Abidin, putera baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad III.

Ia dibina sekitar tahun 1900 di Kota Bharu berhampiran Istana Balai Besar dan lama ditinggalkan kosong selepas Perang Dunia Kedua.

Kemudian, pada tahun 1958, penduduk Kampung Kedai Mulong telah membeli binaan balairung ini dengan harga RM1,000 untuk dijadikan masjid di penempatan mereka yang terletak 11 kilometer dari bandar Kota Bharu.

Pemindahan pada waktu itu dilakukan dengan lori dan struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua bagi tujuan tersebut. Ia dipasang semula secara gotong-royong seperti bentuk asal balairung seri dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk.

Sebagai sebuah balairung seri, bangunan ini mempunyai ukiran jejala yang halus pertukangannya termasuk mural lukisan awan larat air emas pada kepingan papan janda berhias.

Yang menariknya mural tersebut ditemui selepas pekerja pemuliharaan mengikis cat lama pada kepingan papan dinding masjid itu.

Menurut Rais, kerja-kerja pemuliharaan warisan seni bina itu adalah antara 12 projek konservasi yang dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) di negeri Kelantan yang menelan belanja RM13 juta.

”Selain Masjid Lama Mulong, projek lain adalah seperti pembaikan Masjid Kampung Laut, Nilam Puri, bangunan Wat Kampung Dalam di Tumpat dan tokong Mek Nyet Keung di Kampung Pulai, Gua Musang,” katanya.

Salah satu kerja yang dijalankan semasa projek konservasi adalah mengalihkan ia secara mekanikal berikutan kedudukan tapak bangunannya terkeluar sebanyak sembilan kaki dari tanah yang diwakafkan.

Ia dialihkan ke depan sebanyak 7.01 meter dan ke sisi kanan sebanyak 3.3 meter dengan menggunakan kaedah chain-lock. Kaki-kaki tiang masjid diangkat naik ke atas dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya dengan tenaga manusia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Masjid Ar- Rahman, Adnan Nusoh berkata, idea konservasi masjid tersebut dipelopori pada mulanya oleh Allahyarham Cikgu Hamzah Mahmud, penduduk asal di situ.

”Allahyarham yang bertungkus lumus melobi idea ini dengan Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Prof. Emeritus Datuk Siti Zuraina Majid tetapi dia meninggal sebulan selepas jawatankuasa masjid menyerahkan masjid kepada JWN pada 22 November 2008 untuk tujuan pemuliharaan,” katanya semasa berucap mengimbau sejarah masjid tersebut.

Menurutnya, sebahagian tapak bangunan masjid itu merupakan wakaf daripada Allahyarham Abdul Rahman Ismail atau lebih dikenali sebagai Ayah Su.

Masjid Lama Mulong yang hanya sepelaung jauhnya dari Masjid Kampung Laut dan terletak betul-betul di tepi jalan besar ini hanya menanti jemaah datang menghidupkannya dan bukan semata-mata dibaik pulih untuk hiasan mata memandang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s