Masjid Belukar serba guna

Suasana pelamin yang dihias indah di Masjid Mukim Belukar, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/Yatimin Abdullah



KOTA BHARU 7 April – Peranan masjid sebenarnya bukan sekadar tempat ibadah dan sesekali ceramah agama selain berbuka puasa, sebaliknya ia lebih daripada itu.

Namun, itulah gambaran lazimnya sehingga kebanyakan bangunan yang tersergam dan indah ditatap itu bagaikan hilang pesona untuk terus menarik pelbagai lapisan masyarakat mendekatinya.

Ia kelihatan suram dan lesu dalam kebanyakan masa sedangkan institusi itu pada era silam Islam turut menjadi nadi kepada segala aspek kegiatan hidup seharian yang sekali gus merupakan pusat pertemuan dan persaudaraan umat.

Kerap kedengaran seruan agar institusi itu diimarahkan atau dimakmurkan dan ahli kariah Masjid Mukim Belukar Batu Lapan, Jalan Kuala Krai di sini mengambil pendekatan awal untuk mempelbagaikan peranan masjid.

Mereka menyediakan sebuah bilik akad nikah dan pelamin persandingan khusus kepada bakal pasangan yang akan melangkah ke alam perkahwinan di samping kemudahan untuk jamuan meraikan anggota keluarga.

Malah mereka juga sedang menimbangkan kemungkinan menyediakan inap desa di kawasan pekarangannya bagi kemudahan pelawat di masjid yang kini masih dalam proses pembinaan untuk membesarkannya.

Imam masjid tersebut, Bidin Said berkata, bilik khas itu yang diwujudkan pada 2006 bertujuan memberikan keselesaan untuk mereka yang baru sahaja melangkah ke gerbang perkahwinan serta ahli keluarga yang hadir.

”Saya mendapat idea untuk membuat bilik ini selepas melihat sebuah bilik pengantin yang terdapat di Masjidil Haram sewaktu menunaikan fardu haji pada tahun 2003.

”Selepas pulang, saya terus bawa perkara ini ke mesyuarat jawatankuasa masjid di sini untuk dibincangkan. Alhamdulillah idea ini telah mendapat sokongan padu ahli,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, kos pengubahsuaian serta peralatan bilik berhawa dingin itu menelan belanja sebanyak RM50,000 dan kesemua kos itu diperoleh hasil sumbangan orang ramai termasuk individu tertentu.

”Bilik akad nikah ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu satu untuk akad nikah dan satu lagi untuk tujuan bergambar kenang-kenangan dengan katil dan pelamin disediakan.

”Ruang yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang dalam satu masa yang dihias indah menggunakan khidmat nasihat dari pusat pengantin yang bertauliah untuk urusan reka bentuk dan hiasan dalaman,” tegasnya.

Dalam pada itu Bidin berkata, pihaknya sedang menyiapkan pentas pelamin di samping dewan makan untuk kegunaan keluarga atau waris pengantin yang dijangka boleh digunakan pada Jun ini.

”Pihak masjid turut menyediakan perkhidmatan katering untuk ditempah bagi mereka yang ingin mengadakan jamuan untuk ahli keluarga pengantin,” katanya.

Jelasnya, kemudahan yang disediakan oleh pihak masjid adalah percuma dan jika pihak keluarga pengantin ingin menghulurkan sedekah, ia digunakan untuk menampung kos penyelenggaraan.

”Dengan adanya kemudahan yang disediakan ini dapatlah membantu menjimatkan kos dan masa bagi keluarga pasangan pengantin,” ujarnya.

Bidin berkata, setakat ini sudah lebih 300 pasangan dinikahkan di bilik tersebut selepas lebih tiga tahun ia beroperasi dan kebanyakannya anak penduduk mukim itu.

”Bagi pasangan yang bukan dari mukim ini, jika mahu bernikah di masjid ini perlulah mendapat kelulusan pihak berkuasa agama di tempat masing-masing,” katanya.

Orang ramai yang berminat menggunakan kemudahan di masjid itu boleh berhubung dengan imam masjid (012-9488385 dan 09-7127162) atau bendahari masjid, Yusoff Mat Saman (019-9906688).

Sementara itu, salah seorang pengantin, Masniza Mohammad, 28, berkata, bilik tersebut amat menarik yang dapat menyerikan suasana perkahwinan.

”Saya selaku anak mukim kampung ini berbangga dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak masjid. Suasana yang selesa menambahkan lagi seri majlis,” ujarnya.

Tambahnya, bagi mereka yang bakal melangkah ke gerbang perkahwinan bolehlah memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh pihak masjid mukim Belukar ini.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

utusankelantan@utusan.com.my

One response to “Masjid Belukar serba guna

  1. Salam, utk pengetahuan semua, masjid tu dalam proses pembesaran kepada 2 tingkat. Baru 35% siap. Derma amat dialu-alukan. Baru-baru ni RTM dan TV7 membuat liputan majlis pernikahan. Keluar dalam berita wilayah RTM.Kemudian MHI TV3 pun datang gak. Siaran bulan Ramadhan ni. Masjid ni memang aktif. Masjid terbaik Kelantan 1998 dan imam mukim terbaik 2009.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s