Masjid tertua Niujie popular

sumber: Utusan Malaysia

Masjid yung An He yang mengekalkan tradisi seni bina masyarakat China.



BEIJING, ibu negara China, bandar kedua terbesar yang menempatkan lebih 18 juta penduduk Kotanya bersih dan teratur. Seperti Malaysia, jalan-jalannya juga sesak dengan kenderaan yang bertali-arus terutama pada waktu puncak.

Di Beijing, pelancong Muslim tidak sukar untuk mencari restoran dan makanan halal. Dianggarkan lebih 50 restoran halal boleh didapati di bandar raya ini yang menghidangkan pelbagai jenis makanan menarik.

Kebanyakannya sayur-sayuran. Menu utama adalah telur dadar dan sesekali menjamah ikan dan daging. Sudah tentu teh Cina adalah satu minuman ‘wajib’.

Tempat sembahyang untuk pelancong Muslim turut disediakan di restoran-restoran besar yang terdapat di sekitar Beijing. Di samping masjid-masjid yang dibina di jalan utama yang boleh dihubungi dengan kenderaan.

Berpeluang melawat Beijing bersama Poto Travels Sdn. Bhd. baru-baru ini, memberi kesempatan untuk berkunjung ke salah sebuah masjid tertua dan terindah di kota itu untuk bersolat. Ia terletak di Jalan Niujie iaitu sebuah lokasi yang menempatkan ramai penduduk Muslim. Terdapat lebih 20,000 orang Muslim di sekitar kawasan itu.

Bagi memudahkan orang Muslim di sini, turut disediakan sebuah pasar raya khas (Pasar Raya Niujie) menjual barangan dan makanan halal.

Masjid yang dikunjungi itu dinamakan Niujie bermakna “Jalan Lembu”. Di China terdapat 56 suku etnik. Suku kaum Hui yang mewakili 20 peratus penduduk di sini beragama Islam.

Di negara itu, suku kaum itu kebanyakannya berada di Xinjiang iaitu sebuah wilayah yang terletak di Barat Laut China.

Raut wajah mereka agak tampan bagi lelaki, berhidung mancung seakan-akan orang Arab dan berkulit putih kemerah-merahan.

Di Beijing, kebanyakan mereka yang berhijrah ke sini akan bekerja makan gaji di pejabat, menjadi pemandu dan ada antara mereka yang berniaga.

Masjid Niujie amat popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara. Bangunan tua ini dibina pada tahun 996 sebelum masihi pada Dinasti Liao oleh cendekiawan Arab.

Pada tahun 1474 Dinasti Ming telah menganugerahkan panggilan libaisi atau masjid kepada institusi itu.

Pada ketika ini imam yang mengendalikan Masjid Niujie ialah Haji Ali.

Institusi hebat ini telah diperbesar dan diperbaharui semula ketika Dinasti Yuan, Ming dan Qing dengan ciptaan bingkai reka bentuk yang diperbaiki.

Bangunannya merupakan gabungan reka bentuk istana China gaya klasik dan seni bina Arab.

Masjid ini sebenarnya berkait rapat sebahagian daripada sejarah Cina. Di sini juga bersemadinya beberapa cendekiawan Arab ulung di Makam Shaihai, yang pada masa dahulu datang ke kota itu untuk menyebarkan syariat Islam pada awal tahun Dinasti Yuan.

Ciri-ciri penguasaan Arab kelihatan pada kekuatan tulisan di makam-makam yang menunjukkan satu waktu dahulu ialah tempat berkembang seni budaya Arab. Malah dikatakan artifak seperti itu amat jarang dijumpai di China.

Ada juga penemuan sejarah yang yang jarang ditemui di sini termasuklah mercu tanda perluasan kuasa raja-raja dari 33 tahun pemerintahan Maharaja Kangxi (1694), selain porselin tua Dinasti Ming.

Dalam pada itu khazanah Islam yang paling terpelihara selama 300 tahun iaitu al-Quran yang bertulis tangan dan beberapa bekas dupa serta bahagian kapal layar yang diperbuat daripada tembaga.

Menurut pembantu imam yang dikenali sebagai Haji Ibrahim, masjid tersebut telah diubah suai dan diperbaiki pada tahun 1979.

“Pada 13 Januari 1988, kerajaan China telah mengisytiharkan masjid ini sebagai salah satu unit utama kepada khazanah sejarah kebangsaan,” tambahnya.

Kata Ibrahim, masjid itu berkeluasan 6,000 meter persegi dan terbahagi kepada beberapa ruang. Ini termasuklah dewan solat, menara, dewan kuliah, astaka dan kamar-kamar khas. Masjid ini mengunjur ke barat menghadap Mekah.

Pada hari ini, ia terus menerima kedatangan para jemaah tempatan pada setiap waktu sembahyang. Ahli jemaah pasti bertambah ketika hari cuti apabila dikunjungi oleh tetamu dari luar negara yang bercuti ke negara itu. Turut dibina ialah sebuah kedai menjual barangan seperti kopiah dan minyak wangi untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.

Sebuah lagi masjid yang sempat dijengah adalah Masjid Yung An He yang dibina pada zaman Dinasti Ming berusia lebih 300 tahun.

Pada tahun 2005 masjid itu berpindah ke tapak sekarang kerana tapak yang asal di Jalan Shan Shan terbabit dengan pembinaan jajaran tengah lebuh raya kota Beijing. Kos untuk pemindahan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemerintah.

Berukuran 1,200 meter persegi, ia terletak agak pinggir bandar di sebuah jalan terpencil di An He (tanduk lembu).

Menurut pembantu imam masjid berkenaan, Suleiman atau nama Chinanya, Pai Cheng Ren, 68, kira-kira 150 orang muslim akan memenuhi masjid berkenaan setiap kali solat Jumaat. Jemaah akan meningkat menjelang bulan Ramadan ketika mengerjakan solat tarawih dan berbuka puasa.

Namun kini, orang Islam di kawasan itu sudah semakin ramai berpindah ke tempat lain.

Biarpun dipindah dari tapak asalnya, namun keaslian seni bina masjid itu tetap dijaga. Keindahan seni bina warisan China tetap terpancar utuh dengan menara tinggi menggantikan kubah menunjukkan bahawa bangunan itu adalah sebuah masjid.

Turut dipindahkan bersama adalah beberapa barangan lama dari Dinasti Ming seperti tembikar, pasu besar, kerusi kayu dan kraf tangan dalam bahasa Arab.

Masjid seterusnya adalah Nan Du Ya yang berkeluasan 2,000 meter persegi. Terletak di tengah kawasan He Pei dan agak terlindung kerana dilitupi bangunan di kiri kanannya.

Seni binanya agak moden tapi masih mengekalkan ciri-ciri ukiran China.

Imam yang bertanggungjawab di sini ialah Ibrahim atau nama Chinanya Gao Rong Xi, 72, yang memberitahu terdapat kira-kira 3,000 muslim di persekitaran masjid berkenaan. Bilalnya pula ialah Muhammad yang berusia 56 tahun.

Ruang solat wanita agak terpisah daripada dewan solat lelaki. Terdapat ruangan dalam masjid itu yang dijadikan kelas-kelas pengajian agama dan satu lagi ruang dijadikan sebagai pusat jualan cenderamata dan barangan makanan halal.

One response to “Masjid tertua Niujie popular

  1. wah,, subhanallah sekali..
    btw,masjidnya dilihat dari photo tidak terlihat seperti masjid ya..😀

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s