Agong rasmi Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bernilai RM200 juta tersergam indah kini menjadi mercu tanda baru pembangunan Putrajaya. (Gambar kecil) Tuanku Mizan Zainal Abidin menandatangani plak perasmian masjid tersebut di Presint 3 semalam sambil disaksikan oleh Najib Tun Razak dan Jamil Khir Baharom. – BERNAMA



PUTRAJAYA 11 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini, yang sekali gus menjadi mercu tanda baru pembangunan Putrajaya.

Masjid itu yang sebelum ini dikenali sebagai ‘masjid besi’ kerana keunikan reka bentuknya yang kontemporari serta pembinaan menggunakan 6,000 tan keluli iaitu 70 peratus daripada keseluruhan struktur bangunan berbanding selebihnya konkrit.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom selain duta-duta asing di kalangan negara-negara Islam.

Selepas majlis itu, Seri Paduka kemudian menunaikan solat Jumaat buat kali pertama di masjid berkenaan bersama-sama rakyat jelata.

Sebelum itu, Jamil Khir menyampaikan khutbah Jumaat menyentuh perjuangan rakyat Palestin membebaskan diri daripada cengkaman rejim Israel dan tanggungjawab umat Islam mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Sesudah solat, baginda berkenan bersalaman dengan rakyat jelata yang berpusu-pusu mengambil kesempatan menatap wajah raja yang dikasihi mereka itu dari dekat.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mengambil sempena nama Seri Paduka itu mula digunakan oleh para jemaah sejak bulan Ramadan, September tahun lalu.

Masjid yang bernilai RM200 juta itu mula dibina pada 2004 dan setelah siap sepenuhnya, ia diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) pada Ogos tahun lalu.

Ia mampu menampung sehingga 20,000 jemaah pada satu-satu masa selain dilengkapi pelbagai kemudahan bagi kegiatan dakwah, keagamaan dan kemasyarakatan serta mampu menjadi satu lagi produk pelancongan bertaraf antarabangsa.

Jamil Khir dalam ucapannya berkata, pentadbiran sesebuah masjid hendaklah diuruskan secara profesional dan bebas daripada elemen politik kepartian dalam usaha menjadikan institusi itu sebagai pusat perpaduan ummah.

Beliau berkata, kegiatan berunsur politik kepartian perlu dihindarkan kerana ia membawa kepada perpecahan masyarakat.

“Dengan pendekatan ‘1Malaysia 1Ummah’ kerajaan berkeyakinan masjid merupakan institusi yang paling sesuai untuk menyatupadukan umat.

“Orang bukan Islam juga perlu dilibatkan sama dalam menjalankan aktiviti sosial seperti membina nilai-nilai murni bagi memantapkan kerjasama, silaturahim dan tolong-menolong di kalangan ahli kariah,” katanya.

Jamil Khir berkata, kerajaan berhasrat menjadikan masjid sebagai pusat sehenti yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada para jemaah serta pengunjung.

Berikutan itu, katanya, sebagai permulaan 42 masjid terpilih seluruh negara telah dilengkapkan kemudahan WiFi dengan kos bernilai RM200,000 dalam usaha menjadikannya sebagai salah satu pusat perkembangan teknologi maklumat kepada masyarakat.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan memberi peruntukan khas ke negeri-negeri bagi menubuhkan Pusat Pembangunan Sosial (PPS) dan Pusat Pembangunan Keluarga Islam (PPKI) di masjid-masjid terpilih.

“Melalui perkhidmatan itu, masyarakat yang bermasalah berkaitan sosial dan keluarga boleh mendapatkan khidmat nasihat perunding kaunseling yang disediakan di masjid.

“Masjid juga perlu menyediakan kemudahan perpustakaan awam, kios, kemudahan rumah musafir, kemudahan komputer, kelas pengajian dewasa serta kanak-kanak dan sebagainya,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s