KOTA BHARU 7 Jan. – Kewujudan masjid negeri, Masjid Muhammadi bukan sahaja gah dari sudut binaan dan sejarah yang memateri namanya, malahan, ia menjadi daya penarik minat jemaah dan pelancong untuk mengunjunginya sejak dahulu hingga sekarang.
Setiap kali masuknya waktu solat, tidak kurang 500 jemaah akan hadir menunaikan kewajipan rukun Islam itu di situ dengan pertambahan sehingga 600 orang pada sebelah malam.
Imam Tua Masjid Muhammadi, Zulkiflee Mohamed, 43, berkata, kepelbagaian program yang disediakan di masjid selain keselesaan ruang solat berhawa dingin dan kedudukannya di pusat bandar mungkin menjadi penarik utama kepada umat Islam.
“Setiap pagi selepas kuliah subuh, kita ada sesi ‘tadahan’ (pengajian) kitab kemudiannya diteruskan dengan pengajian Al-Quran untuk kanak-kanak dan dewasa. Ini disusuli pula dengan muzakarah sebelum asar dan kuliah maghrib.
“Pada Ahad dan Selasa pula kita mempunyai sesi kuliah tambahan pengajian taranum Al-Quran dan hadis selepas waktu Isyak,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Zulkiflee, pada setiap pagi Sabtu, kuliah khusus untuk wanita disediakan dengan tenaga pengajarnya juga wanita bagi memudahkan lagi pemahaman tentang pelbagai isu berkaitan mereka dari sudut agama.
Katanya, kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila pihak masjid menganjurkan kelas tambahan bahasa Inggeris percuma pada malam Sabtu dan Ahad yang dikendalikan seorang guru pakar.
Sementara itu, seorang ahli kariah, Wan Yusoff Wan Ahmad, 81, dari Kampung Masjid memberitahu, dia mula mengunjungi masjid itu sejak kanak-kanak lagi dan kawasan masjid yang dulunya dari binaan kayu itu menjadi tempatnya bermain.
“Dulu ada bangunan kayu di sini dan pondok tempat orang belajar, saya ingat lagi pernah bermain kejar-kejar bersama kawan-kawan di bawah masjid kerana rumah kami pun tidak jauh dari sini. Daripada yang saya lihat, berbanding pada zaman dahulu, lebih ramai ahli kariah yang datang ke masjid sekarang.
“Keadaan yang selesa menyebabkan orang suka datang lebih-lebih lagi ia ada sesi kuliah setiap malam,” katanya.
Sabari Abdul Rashid, 35, dari Wakaf Bharu pula berkata, Masjid Muhammadi merupakan masjid yang ‘mesra-jemaah’ dan memikat hati anak muda untuk mengimarahkannya.
Kakitangan awam itu berkata, reka bentuk terbuka masjid itu juga menjadikan keadaan nyaman untuk menunaikan ibadah dan sebagai tempat berhenti rehat setelah sibuk bekerja.
“Walaupun lebih senang jika saya sembahyang di surau berdekatan pejabat, tetapi saya rasa lebih terpanggil untuk datang ke sini. Malah, saya lihat ramai anak muda menjadi pengunjung tetap dan bukan dimonopoli golongan tua,” katanya.
Bagi Norshaliza Anisa Zubir, 10, dari Kampung Masjid pula, dia suka datang berjemaah ke masjid itu bersama-sama ibu bapanya berbanding sembahyang di rumah.