Masjid Muhammadi: Mercu perkembangan Islam di Kelantan

sumber: Utusan Malaysia

KOTA BHARU 7 Jan. – Tentu ada keistimewaan tersendiri dengan masjid negeri, Masjid Muhammadi yang terletak di pusat bandar ini kerana menjadi pilihan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sehingga digelar sebagai ‘serambi ilmu’ baginda.

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa masjid itu menjadi tempat utama baginda untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah dan mengikuti kuliah ilmu sekiranya baginda tiada urusan di tempat lain.

Meskipun tempat bersemayam baginda di Istana Telipot juga berdekatan dengan sebuah masjid besar, namun Masjid Muhammadi dan ahli kariahnya cukup bertuah kerana menerima kedatangan seorang raja hampir setiap hari.

“Kalau baginda ada dalam negeri, inilah masjid yang ditujunya, kadang kala kami pihak masjid hanya dimaklumkan keberangkatan baginda ketika baginda sudahpun dalam perjalanan ke sini, kelam kabut juga jadinya membuat persiapan,” kata Imam Tua masjid itu, Zulkiflee Mohamed, 43, kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, Sultan Kelantan mempunyai bilik khas di bahagian hadapan kiri dewan solat utama yang menjadi tempat baginda beristirehat sebelum tiba waktu solat dan membaca serta menghafaz ayat-sayat suci Al-Quran bersama imam-imam bertugas.

Masjid yang menginjak usia 80 tahun ini berada dalam kawasan seluas 0.4 hektar dan setiap inci tanahnya dimanfaatkan sepenuhnya dengan bangunan dan infrastruktur asas bagi keperluan lebih 10,000 jemaah dari beberapa kawasan seperti Lorong Gajah Mati, Kampung Sungai Budor, Kampung Cina, Jalan Sri Cemerlang, Jalan Kebun Sultan dan Kampung Merbau.

Binaan terbuka berunsur seni bina kolonial pra-Perang Dunia Kedua berwarna kuning cair dan coklat dengan kubah keemasan serta puluhan tiang besar dan arca itu menjadi mercu tanda bandar Kota Bharu dan pernah memahat sejarah sebagai pusat pengajian ilmu agama yang menarik pelajar bukan sahaja dari pelusuk negeri, bahkan nusantara.

Zulkiflee berkata, tiga blok bangunan utama Masjid Muhammadi boleh memuatkan sehingga 5,000 jemaah dan bilangan yang menghadiri solat Jumaat pula akan meningkat sekali ganda apabila mereka memenuhi setiap ruang dalam dan luar masjid.

Jelasnya, sebagai sebuah masjid negeri, pengurusan Masjid Muhammadi berada di bawah pemantauan langsung Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Mohd. Hanafizi Abdullah.

“Selain itu, pentadbiran masjid dibantu Imam Muda I, Wan Zulkifli Wan Omar, 45, dan Imam Muda II, Baharuddin Abdullah, 41, serta lebih 20 kakitangan lain terdiri daripada bilal, siak, pengawal keselamatan dan pekerja kontrak kebersihan.

“Bilangan yang ramai ini sudah pasti diperlukan untuk mengurus sebuah masjid yang menarik kunjungan bukan sahaja ahli kariah dan pekerja pejabat serta peniaga sekitar bandar tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.

Meskipun masjid itu secara rasminya dibuka pada Jumaat, 31 Julai 1931 oleh Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV, namun sejarahnya bermula lebih awal daripada itu.

Pengkaji dan penulis sejarah negeri, Che Ismail Che Daud berkata, binaan konkrit yang masih berdiri gagah pada hari ini sebenarnya adalah bangunan baru yang didirikan menggantikan masjid kayu lama yang dikenali dengan nama Masjid Besar Kota Bharu.

Katanya, ketika itu ia menjadi tempat ‘tadahan’ (pengajian) ilmu ulama terkenal Tok Kenali (Allahyarham Muhammad Yusoff Muhammad) pada zaman remajanya di awal 1880-an dan juga tempat beliau mengajar kitab bermula 1917 melalui sistem pengajian berasaskan kurikulum yang diperkenalkannya.

“Masjid Besar Kota Bharu didirikan pada 1867 dengan menggunakan kayu dari masjid asal di Kampung Sungai Budor seberang Paloh dekat sini yang dipindahkan bagi mengelak ancaman banjir.

“Kemudian, pembinaan bangunan baru seluas hampir 1,000 meter persegi dengan empat menara setinggi 21 meter menggantikan bangunan kayu dimulakan setelah peletakan batu asas oleh Almarhum Sultan Ismail pada 21 Ogos 1922.

“Nama Masjid Besar Kota Bharu kekal sehinggalah Almarhum Sultan Ismail membuat pemasyhuran nama ‘Masjid Muhammadi’ semasa merasmikan bangunan konkrit itu dipercayai bersempena gelaran ‘Sultan Muhammad’ yang digunakan leluhur baginda,” katanya.

Menurutnya lagi, pembinaan masjid pernah terbengkalai beberapa tahun di pertengahan dekad 20-an kerana pihak MAIK kekurangan dana akibat kegawatan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia ketika itu.

Jelasnya, pembinaan bangunan baru yang dapat menampung sejumlah 2,400 jemaah hanya bermula semula pada penghujung dekad itu dan kos keseluruhan yang dibelanjakan mencecah angka RM360,000.

Beliau berkata, keseluruhan bangunan kayu asal masjid itu dirobohkan sepenuhnya sekitar 1950-an dan kayu-kayunya dihantar ke beberapa masjid di daerah lain untuk digunakan semula.

Che Ismail berkata, dua lagi blok bangunan tambahan baru dibina di sebelah hilir (kanan) dan hulu (kiri) masjid masing-masing pada 1959 dengan kos RM75,000 dan 1968 (RM100,000).

“Saiz dan keluasan kedua-dua bangunan adalah serupa iaitu hampir 500 kaki persegi dengan kos pembinaan ditanggung pihak MAIK, kerajaan negeri dan hasil derma orang ramai. Pada 1976, satu lagi blok bangunan baru yang lebih besar setinggi dua tingkat dibina bersambung dengan bangunan tambahan hilir yang asal.

“Bangunan baru ini memuatkan perpustakaan masjid untuk kemudahan ulama, guru serta orang awam membuat penyelidikan namun bahan-bahan perpustakaan itu akhirnya dipindahkan ke pejabat MAIK setelah Kompleks Islam Lundang siap pada 90-an,” katanya.

Tambahnya, bangunan sebelah hulu yang menempatkan ruang solat jemaah wanita mengalami pengubahsuaian terakhir pada 1987 dengan perbelanjaan sebanyak RM482,242 menyaksikan ia direkabentuk semula serupa dengan dewan solat utama yang asal.

Dari sudut pengisian, sehingga ke hari ini, asas pengajian ilmu seperti kaedah yang diperkenalkan oleh Tok Kenali puluhan tahun lalu kekal menjadi keistimewaan Masjid Muhammadi.

Menurut Zulkiflee, masjid itu mengadakan sesi ‘tadahan’ (pengajian) kitab dari pukul 7.00 hingga 8.00 pagi setiap hari mengumpulkan ‘murid-murid’ daripada latar belakang berbeza yang mahu membaca dan mendalami kitab daripada pelbagai genre ilmu.

“Setiap kitab fekah, tasawuf, tafsir dan hadis contohnya Kitab Tafsir An-Nasafi dan Feqah Al-Mahalli ini akan ditelaah dari kulit ke kulit bersama tenaga ilmuan berkaliber yang kami jemput.

“Penuntutnya terdiri daripada golongan pendidik, profesional dan pesara akan membaca dalam bentuk halaqah ilmu sama seperti pengajian sistem pondok dan tidak akan melangkau mana-mana bab pun sehinggalah mereka menghabiskan satu-satu kitab.

“Sekarang kami mempunyai tiga tenaga pengajar bagi sesi ini termasuklah Timbalan Mufti negeri sendiri, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad,” katanya.

Antara peninggalan lama yang masih dapat dilihat hari ini adalah telaga besar Masjid Muhammadi yang lebih terkenal dengan nama Perigi Tok Kenali dan Beduk Besar yang sewaktu dahulu dipalu sebelum azan berkumandang.

Advertisement

One response to “Masjid Muhammadi: Mercu perkembangan Islam di Kelantan

  1. Budok Jln Dato' Lundang

    Semoga syiar Islam terus makmur di bumi Kelate khususnya dan Malaysia amnya, Insya Allah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s