
Sultan Azlan Shah, Zambry Abd Kadir dan Rais Yatim bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Ihsaniah Iskandariah di Padang Rengas, Perak, semalam.
PADANG RENGAS 6 Mei – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Ihsaniah Iskandariah di Kampung Kuala Dal yang telah melalui proses konservasi oleh Jabatan Warisan Negara.
Baginda kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama pemimpin negeri dan rakyat jelata di Masjid Al-Wahidiah yang terletak berhampiran masjid berkenaan.
Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Masjid Ihsaniah Iskandariah mempunyai keunikan yang tersendiri kerana dibina tanpa menggunakan paku selain dinding diperbuat daripada anyaman buluh.
Masjid setingkat berlantaikan papan itu mempunyai 13 anak tangga dan dibina pada 1936 oleh Sultan Perak ke-30 iaitu Almarhum Sultan Iskandar Shah bagi menunaikan nazar setelah salah seorang putera baginda sembuh daripada gering.
Masjid itu dibina dengan kos RM8,000 di atas tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Juragan Abdul Syukur Mohamad Ali dan dirasmikan oleh Sultan Iskandar Shah pada 11 Februari 1938.
Rais dalam ucapannya berkata, Jabatan Warisan Negara menjalankan kerja-kerja konservasi ke atas bangunan masjid itu termasuk menukar anyaman dinding daripada buluh minyak dan ukiran kerawang pada tingkap masjid.