Khazanah Purba Timbuktu Diancam Pergolakan

SEBELUM tercetusnya pergolakan politik bersenjata di Afrika Barat terutamanya di Timbuktu, Mali, tidak banyak maklumat diketahui ramai mengenai bandar tandus dan gersang itu apatah lagi membongkar keistimewaan kota purbanya.

Paling hampir, dunia mungkin hanya mengetahui akan kewujudan sebuah masjid purba yang menjadi lambang budaya dan sejarah kota tersebut iaitu Masjid Djinguereber.

Hakikatnya, kota yang telah menguatkuasakan undang-undang syariah sejak sekian lama itu pernah melalui zaman kegemilangan Islam dengan terbinanya pusat-pusat peradaban Islam yang sehingga kini kukuh berdiri.

Masjid Djinguereber sebenarnya dibangunkan pada zaman keemasan Timbuktu. Ia menjadi sebuah seni bina unik kerana menjadikan lumpur sebagai bahan asasnya.

Ia dibina oleh Sultan Kankan Moussa selepas kepulangannya daripada membawa rombongan menunaikan haji di Mekah pada tahun 1325. Di antara tahun 1570 hingga 1583, kadi Timbuktu, Imam Al Aqib telah mengubah suai dan membesarkan masjid tersebut yang kini mempunyai tiga ruang dalaman yang luas.

Sebagaimana Masjid Djinguereber, Masjid Sankore juga telah dipulihara oleh Al Aqib pada tahun 1578 hingga 1582. Dia merobohkan santuari sedia ada dan dibina semula mengikut saiz Kaabah di Mekah. Kiraan saiz itu diambilnya dengan menggunakan tali ketika menunaikan haji.

Sementara itu, Masjid Sidi Yahia pula dibina sekitar tahun 1400 dan turut dipulihara oleh Al Aqib pada tahun 1577 hingga 1578. Ia kini disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia yang menempatkan 16 tapak perkuburan dan makam.

Sekitar abad ke-12 dahulu, tersimpan puluhan ribu naskhah, tulisan dan manuskrip pelbagai ilmu pengetahuan di Timbuktu. Sehingga kini, naskhah-naskhah kuno itu masih disimpan secara warisan oleh penduduk setempat.

Namun, akibat daripada konflik bersenjata yang mencengkam Mali ekoran kejadian rampasan kuasa yang berlaku sejak awal tahun ini, khazanah budaya di bandar kuno Timbuktu dikhuatiri akan dimusnahkan. Menyedari ancaman tersebut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan amaran.

BEBERAPA pekerja sedang berehat sebelum menyambung kerja-kerja restorasi di Masjid Sakore.

Ketua Pengarah Pendidikan Organisasi Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) yang berpangkalan di Paris, Irina Bokova melalui blognya berkata, pengambilalihan oleh pemberontak Tuareg pada bulan Mac lalu boleh merosakkan pengurusan dan pemuliharaan tiga buah masjid serta 16 makamnya.

 

Lindungi khazanah

Justeru, beliau menyeru semua pihak dalam pergolakan politik di Mali agar melindungi khazanah warisan tersebut yang dianggap penting bagi masyarakat antarabangsa dan UNESCO, sambil menambah bahawa ia status Tapak Warisan Dunia perlu dijaga bersama.

“Tarikan Timbuktu mencerminkan zaman kegemilangan modal intelek dan rohani pada abad ke-15. Kota itu memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam di Afrika selain membawa identiti dan maruah seluruh rakyat,” ujar Bokova.

Kawalan negara yang kaya dengan emas di Afrika Barat telah dirampas oleh junta tentera pada bulan Mac lalu. Perkembangan itu mendorong pemberontak pemisah Tuareg di utara negara itu untuk mengambil alih bandar berkenaan.

“Keadaan sangat tegang ketika ini. Melihat kepada keadaan terkini, ia bukan lagi tempat untuk pelancongan,” kata pakar mengenai Afrika, Alex Vines, yang berkhidmat untuk Chatham House iaitu firma yang memantau hal ehwal antarabangsa di Britain.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang kapten tentera yang mengetuai rampasan kuasa itu, Amadou Sanogo, dilaporkan telah berjanji untuk menghidupkan semula perlembagaan dan semua institusi negeri sebelum memindahkan kembali kuasa kepada orang awam melalui pilihan raya.

Halang campur tangan

Rampasan kuasa pada bulan Mac lalu di Mali memudahkan pemberontak pemisah Tuareg untuk menguasai utara Timbuktu yang mereka dakwa sebagai tanah air mereka.

PENDUDUK setempat membantah pengambilalihan kawasan utara Mali oleh tentera pelampau Islam.

Bagaimanapun, sebuah kumpulan yang tidak dikenali dan bersekutu dengan kumpulan al-Qaeda di Afrika Utara, Ansar Dine, menawan kembali kawasan berkenaan dan menghalau keluar pemberontak Tuareg daripada semua kedudukan kuasa.

Komuniti antarabangsa bimbang rantau gurun tersebut yang lebih besar daripada Perancis akan menjadi tapak baharu bagi aktiviti pengganas. Para pejuangnya juga telah mengancam mana-mana negara yang menyertai campur tangan kuasa tentera di Mali.

Pemerintah Afrika Barat pula telah mengarahkan kerajaan tentera sementara Mali untuk menubuhkan kerajaan perpaduan sebelum 31 Julai. Kerajaan sementara itu dijangka lebih mampu untuk berurusan dengan situasi di sebelah utara negara itu.

Sementara itu, pejuang daripada kumpulan Ansar Dine yang mengawal utara Mali juga didapati telah memusnahkan dua buah makam purba Masjid Djinguereber di Timbuktu.

Kira-kira sedozen lelaki bersenjata tiba menaiki pacuan empat roda dan menembak ke udara untuk menakutkan orang awam. Setelah itu mereka mula menghentam makam-makam berkenaan, menurut Ibrahim Cisse yang menyaksikan kejadian itu.

“Mereka menyekat dua jalan utama menuju ke makam tersebut. Mereka melihat orang ramai berkumpul dalam sebuah majlis di situ dan mula menembak ke udara,” ujar seorang penduduk lain, Mahamad Ould Ibrahim.

Kemusnahan baharu itu berlaku selepas serangan seminggu sebelumnya ke atas mercu tanda keagamaan lain di Timbuktu yang digelar UNESCO sebagai kemusnahan yang melampaui batas.

 

WANITA ini menggendong anaknya di pekarangan Masjid Besar Djenne. Penduduk setempat menjadikan kawasan sekitar masjid sebagai pusat aktiviti harian.

Ansar Dine telah mengisytiharkan bahawa kuil-kuil dan makam purba berkenaan sebagai haram atau dilarang dalam Islam.

Ansar Dine telah berikrar untuk terus memusnahkan semua binaan berkenaan tanpa pengecualian biarpun mencetuskan kemarahan dan kesedihan daripada penduduk dalam serta luar negara.

“Tidak ada khazanah dunia, ia tidak wujud. Orang kafir tidak boleh masuk campur dalam hal kami,” kata seorang Tunisia yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmed yang memberitahu, dia adalah sebahagian daripada jawatankuasa media Ansar Dine.

“Kami akan memusnahkan segalanya, walaupun makam berkenaan terdapat di dalam masjid. Kemudian kami akan memusnahkan makam-makam di seluruh rantau Timbuktu,” katanya.

Para pejuang Ansar Dine atau ‘Pembela Iman’ memulakan pemusnahan khazanah budaya Timbuktu pada 1 Julai, selepas UNESCO menyenaraikannya dalam sebagai Tapak Warisan Dunia yang terancam.

Mereka memusnahkan 16 makam dan pintu suci Masjid Sidi Yahya yang dibina pada abad ke-15 di Timbuktu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s