Tag Archives: Kuala Terengganu

Masjid Putih – Dibaiki Indah Dibiar Punah

dipetik dari: http://akarimomar.wordpress.com/2009/07/20/masjid-putih-dibaiki-indah-dibiar-punah/

Memang bagai membenarkan hadith di akhir zaman yang banyak menyatakan bahawa umat asyik mengindahkan masjid sekadar untuk bermegah dengan keindahannya. Selain dari banyak masjid di seluruh negeri Terengganu yang telah diruntuhkan untuk dibina masjid yang baru (antaranya Masjid Chendering dan Masjid Bukit Besar), banyak juga masjid yang dibaik pulih untuk diperindahkan.

Masjid Bukit Besar yang telah diranapkan

Tidaklah tujuan saya untuk membantah segala usaha membaikpulih masjid yang amat dhaif dan perlu diperbaiki, namun adakalanya mereka yang berkepentingan terlalu amat cepat untuk mengenalpasti mana ruang dan peluang untuk menghasil projek dan membina dana untuk mereka atau kaum kerabat mereka.

Mungkinlah ada yang ingin membantah pandangan saya kerana mereka duduk di dalam mesyuarat dan membincang dengan panjang lebar setelah pelbagai kertas kerja dan cadangan dibentang dan dibincang. Dan setelah “meneliti segenap aspek” maka mesyuarat jawatankuasa mereka membuat keputusan kewajaran projek.

masjid putih - tambahan

Memang sedap didengar hujah yang beri. Namun tidak kurang juga hujah yang menentang yang diketepikan.

Merujuk kepada projek yang menelan belanja berjuta ringgit untuk Masjid Abidin itu ianya telah banyak menghilangkan identiti asalnya. Kolah besar yang sudah bertahun diguna dan amat nostalgik telahpun dimusnahkan. Kemudian, bahagian tambahan yang dibina di zaman Sultan Ismail Nasiruddin Shah telah dimusnahkan identitinya (kubah kuning sudah tiada lagi) dan bahagian annexnya digantikan dengan tandas dan kolah baru (walhal kolah asal disebelah selatan masjid telah dimusnahkan) – kesemuanya boleh kita terjemahkan untuk menjustifikasikan pembelajaan yang besar. Menara yang mirip Masjid Negara pun sudah diganti.

A- menara masjid putih

Setelah berhujah sedemikian, ada pula yang membela, biarlah mereka hendak buat duit sedikit. Tetapi kita perlu pula lihat sikap ketanggungjawaban mereka yang loba mencari harta dengan cara sebegini. Cuba kita teliti sikap mereka yang mendapat projek ini dan juga sikap mereka yang ditugaskan memantau projek sebesar ini.

Kita lihat Gambar “A” ini yang diambil sekitar bulan Oktober 2007 – projek baikpulih masih berjalan.

B-pokok melekat dibumbung

Kemudian kita teliti pula Gambar “B” (diambil dari sebelah utara – hala pintu masuk ke Dalam Kota. Gambar ini juga diambil sekitar bulan Oktober 2007 – pada masa projek “baik pulih” masih dijalankan (dan bahagian ini sepatutnya “baru siap dibaikpulih”). Perhatikan pokok yang tumbuh dan melekat pada bumbung bahagian mihrab masjid. [Klik pada gambar lebih besar jika tidak jumpa nak cari di mana yang saya katakan pokok tersebut].

gambar c - interior

Mungkin pula ada yang mengatakan – memang mereka masih lagi belum siap projek. Nanti bila siap dan sedia untuk diserahkan, akan dibersihkanlah segala apa yang cacat dan perlu diperbaiki lagi.

Kalau kita main pejam mata dan tidak mengambil peduli pembaziran wang yang diamanahkan maka bolehlah kita mengambil pendirian sedemikian. Perhatikan pula Gambar C (diambil pada bulan Jun 2009). Lihatlah kemusnahan dan kerosakan yang dibiar berlaku. Amat memalukan. Inilah bahagian dalam di mana kita lihat pokok yang tumbuh dan melekat pada bahagian luar masjid.

gambar d

Bayangkan semenjak Oktober 2007 sehinggalah Jun 2009 – begitulah keadaannya. Dan begitulah sikap mereka yang sudah kaut kekayaan dari projek. Di mana sikap kebertanggungjawaban mereka dan di manakah amanah itu?

03072009(046)

Lihatlah beberapa lagi kerosakan yang berlaku di merata-rata tempat seluruh bahagian dalam dan luar masjid. Hanya yang yang buta sahaja yang tidak nampak ini. Bukan yang indah kita kehendaki untuk dibiarkan punah. Dan tiada maknanya keindahana itu bagi mereka yang buta penglihatan.

Tanyalah dengan mana-mana pegawai masjid. Mereka sudah lali dengan keadaan ini. Yang bertanya sudah ramai. Tetapi keadaannya amat memalukan. Inilah suatu kemegahan masjid yang tua penuh bersejarah, dibelanja sekian banyak untuk menjadi suatu mercu yang indah namun dibiar punah.

Advertisement

Pedulikah kita apabila masjid bakal dirobohkan?

Setelah dua kali menulis perihal Masjid Raja Bukit Besar yang bakal diroboh [1. Masjid Raja Bukit Besar Akan Tinggal Sejarah (25 September 2008) dan 2. Satu Lagi Masjid Bakal Dirobohkan (18 Julai 2008), masih ada beberapa sahabat yang bertanya kesahihan berita tersebut. Ada yang berkata mendapat berita sebaliknya, ada yang mengatakan kerja tersebut tidak akan diteruskan selepas mendapat bantahan ramai dan ada yang tidak percaya “takkan dia orang nak roboh, dia orang nak besarkan sahaja kot?”

Dari sisi kanan masjid - beberapa buah rumah sedang dirobohkan

Dari sisi kanan masjid - beberapa buah rumah sedang dirobohkan

Sememangnya seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, kerja-kerja untuk membina bangunan baru masjid telah pun bermula dengan mengambilalih serta meroboh beberapa rumah di sekeliling masjid tersebut.

Malah papantanda projek yang terpampan menghadap jalan besar jelas menyatakan ianya adalah suatu projek meruntuhkan bangunan asal masjid untuk dibina bangunan yang baru untuk sebuah masjid. Tempoh projek turut dinyatakan sebagai bermula pada 21 Januari 2008 dan dijangka siap pada 12 April 2009. Kontraktor yang diamanahkan untuk melaksanakan projek tersebut ialah Jeniang Services Sdn Bhd.

Bagi mereka yang solat di Masjid Raja Bukit Besar kebelakang ini dapat melihat pelan cadangan binaan baru masjid yang diletakkan di bahagian tengah ruang solat lelaki. Dari pelan tersebut jelas menunjukkan bahawa struktur asal masjid tiada lagi di dalam cadangan binaan baru masjid dua tingkat ini.

Ketika menemubual beberapa ahli qariah masjid serta orang-orang lama di sekitar Bukit Besar serta para penduduk Kuala Terengganu rata-rata tidak bersetuju dengan meroboh dan membina binaan baru untuk usaha membesar dan memperindahkan masjid.

Terdapat banyak lagi kaedah memulihara bangunan lama dan yang bersejarah.

Masjid Yang Beralih Kiblat

Sememangnya umat Islam mengadap kiblat untuk solat. Dan sememangnya ke semua masjid yang dibina akan mengadap kota Mekkah untuk ke arah kiblat.

Namun, dalam pada itu terdapat sebuah masjid yang telah mengalihkan arah kiblatnya. Pada sekitar awal tahun 1990an, Masjid Kg. Mengabang Tengah di Kuala Terengganu telah melaksanakan projek pembesaran masjidnya buat kali yang keempat.

Setelah segala persiapan dibuat dan segala kerja pun dimulai dengan usaha gotong royong orang-orang kampung, Imam masjid, Haji Osman Ngah, terlintas untuk mendapat bantuan Pejabat Ukur dan Pemetaan Terengganu untuk memeriksa sebagai kepastian arah kiblat masjid yang dipandukan selama ini.

Setelah pasukan pakar ukur datang serta memeriksa arah kiblat yang digunakan oleh masjid yang dibina lebih seratus tahun dahulu maka ianya didapati kiblat sememangnya selama ini tidak tepat. Arah yang digunakan selama ini tersasar sekitar 8 darjah ke barat.

Setelah bermesyuarat, keputusan diambil untuk meneruskan kerja-kerja pembesaran masjid berdasarkan struktur asal seperti dirancang dan tidak mengalihkan bagi membetulkannya pada jajaran kiblat. Ianya akan lebih menyukarkan pembinaan beberapa kerangka utama dalam pembesaran masjid itu untuk mengalih dari struktur asal bagi menepati arah kiblat.

Bagi menepati keperluan mengadap kiblat untuk solat, susunan permaidani untuk alas lantai dalam masjid yang dialihkan mengikut arah yang telah disahkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan.

Apabila saya ke masjid dan bertanya perihal fenomena pengalihan arah kiblat, ramai di kalangan ahli jemaah yang tidak mengetahui. Malah ada juga yang tidak sedarpun bahawa struktur masjid mereka tidak mengikut arah kiblat walaupun mereka solat di situ hampir setiap hari.

dari: Karim’s Blog [http://akarimomar.wordpress.com/2008/10/03/masjid-yang-beralih-kiblat/]