KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah memberikan wang suntikan RM1 juta bagi pembinaan masjid reka bentuk Cina pertama di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi memberitahu sidang akhbar di sini hari ini bahawa kerajaan telah meluluskan cadangan pembinaan masjid itu oleh Persatuan Muslim Cina Malaysia (Macma).
“Masjid dengan reka bentuk (arkitektur) Cina itu telah diluluskan oleh kerajaan dan kami sangat sokong usaha Macma. Selain wang suntikan sebanyak RM1 juta, kami juga akan memberikan bantuan dari segi “seringgit untuk seringgit” mengikut kutipan wang derma mereka.
“Masjid tersebut akan dibina di Selayang, seluas sembilan hektar dan mampu menampung jemaah seramai 1,000 orang manakala kos binaannya dianggarkan sebanyak RM15 juta,” kata Zahid selepas melancarkan sambutan Tahun Baru Cina anjuran NGO-NGO Islam di sini hari ini.
Katanya, Macma juga akan menjadikan masjid tersebut sebagai sebuah pusat pelancongan, dakwah dan juga pusat pengajian.
Menurut Zahid, sambutan perayaan itu di perkarangan Masjid Al-Mukhsinin, adalah pertama seumpamanya di negara ini dan Macma harus dipuji kerana usahanya menghimpunkan bersama etnik dan agama yang berbeza.
“Inilah peranan masjid. Kita jangan tutup perkarangan masjid untuk orang bukan Islam. Sekiranya kita hendak menyambut Deepavali atau perayaan lain di masjid pun tidak apa, asalkan ia tidak berunsur keagamaan,” ujar Zahid.
Pada majlis itu, Zahid mengingatkan ahli-ahli politik agar berpolitik dalam lengkongan Parlimen dan Dewan Negeri dan membina semangat muhibah sesama sendiri di luar tembok kuasa.
“Meskipun ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok tidak dijadualkan untuk berucap hari ini, tetapi saya telah meminta pengerusi majlis untuk mengundangnya memberi ucapan.
“Biarlah kita berpolitik di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Di luar, biarlah kita bersahabat,” kata beliau.
Dalam ucapannya, Zahid mengusik Teresa agar mengahwini seorang lelaki Melayu, sebagai merujuk kepada sejarah Laksmana Cheng Ho dari China yang pada satu ketika dulu membawa Puteri Hang Li Po untuk dikahwini oleh Sultan Melaka.
— BERNAMA