Tag Archives: Makkah

Perkasa Masjidil Haram

dipetik dari Berita Harian


Enam arkitek termasuk seorang anak Malaysia dipilih untuk melaksanakan projek pembesaran kota suci umat Islam

Arkitek diminta membina bangunan yang boleh menampung lebih 1.5 juta orang dalam satu masa dan mampu memantulkan haba kerana iklim panas serta mengutamakan alam sekitar

MAKKAH al Mukarramah, kota suci umat Islam menjadi pusat pengumpulan manusia terbesar terutama apabila tiba musim haji setiap tahun.

Saban tahun, jumlah jemaah mengunjungi tempat ibadat itu semakin meningkat, justeru ia memerlukan kawasan yang besar bagi menampung jemaah terbabit melakukan ibadat dengan selesa dan tenang sepanjang berada di sana.

Sehubungan itu, satu perancangan membesarkan kawasan Masjidil Haram sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Projek itu memfokuskan kepada dua perkara utama iaitu pembangunan rohani dan konsep mesra alam dalam memberi keselesaan kepada jemaah haji dan umrah yang datang mengunjungi tempat itu untuk melakukan ibadat.

Perancangan itu membabitkan kemudahan semua golongan jemaah termasuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas uzur yang ingin menyempurnakan rukun Islam kelima itu. Antaranya, mewujudkan laluan khas Saie bagi golongan terbabit agar ia tidak bercampur dengan jemaah normal.

Prof Dr Ismawi menunjukkan pelan penstrukturan semula Masjidil Haram.

Bagi merealisasikan projek berkenaan, seramai enam arkitek berpengalaman dan pakar dalam bidang perancangan bandar dan wilayah dilantik menganggotai Panel Antarabangsa Untuk Pembesaran Masjidil Haram.

Mereka ini bertanggungjawab merangka garis panduan untuk pembangunan semula Makkah khususnya pembesaran Masjidil Haram untuk dibentangkan kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud .

Mereka masing-masing seorang berasal dari Turki, Arab Saudi, Algeria, Malaysia dan dua dari Lebanon.

Malaysia diwakili Profesor Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen.

Di bawah panel itu, sebanyak 16 kumpulan daripada pelbagai negara sudah membentangkan kertas cadangan masing-masing dan Raja Abdullah bakal memilih lebih satu kumpulan berdasarkan kepakaran yang ada pada setiap kumpulan.

Semua kertas cadangan itu, masih di peringkat awal perbincangan namun begitu, sebahagian kecil pengubahsuaian seperti pembesaran laluan Saie sudah dilakukan bagi memudahkan jemaah haji mengerjakan ibadat itu pada musim haji lepas.

Kerja menyiapkan pelan itu dijangka siap akhir tahun ini manakala kerja fizikal dapat dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Ketika ini, kerja awal sudah dimulakan dengan merobohkan bangunan di sekitar masjid terbabit sejak September tahun lalu dan berterusan hingga ke hari ini. Pembersihan kawasan itu merangkumi kira-kira 650 meter dari kawasan masjid berkenaan.

Apabila siap kelak, kawasan ibadat itu dijangka boleh menampung 1.5 juta orang khususnya pada musim haji dan bulan Ramadan. Untuk tujuan itu, pelbagai perkara diambil kira seperti soal keselamatan dan keselesaan jemaah, sistem pengangkutan, kemudahan tandas dan tempat melakukan ibadat.

Dalam konsep mampan, arkitek diminta merancang bangunan yang mampu memantulkan haba kerana iklim panas serta mengutamakan alam sekitar, kemudahan untuk warga emas dan sistem yang boleh dipraktikkan.

Berdasarkan kepada cadangan bernas yang sudah dibentangkan, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah bakal mewujudkan satu lagi kumpulan bagi mengumpulkan semua cadangan dengan cara baik dalam usaha menjadikan masjid itu sebagai penghubung kepada umat Islam di seluruh dunia.

Dalam penstrukturan semula kota Makkah ini, beberapa ulama mengutarakan pandangan tidak bersetuju kerana dikhuatiri pembinaannya yang canggih bakal mengundang masalah seperti tidak dapat menumpukan perhatian ketika melakukan ibadat lantaran terpegun dengan reka bentuk masjid itu.

Selain itu, pembangunan semula Makkah ini juga bakal menghidupkan kembali fungsi masjid pada zaman Rasulullah sebagai tempat perkembangan ilmu, yang mana kerajaan Arab Saudi mahu menubuhkan sebuah institusi pengajian di dalam masjid itu.

Ada masa dan kawasan tertentu kota Makkah tidak sesak ketika musim haji dan umrah, menyebabkan kerajaan bercadang membina sebuah universiti di satu bahagian di dalam masjid berkenaan bagi mengimarahkan kawasan ibadat itu agar tidak kelihatan kosong dan sepi.

Universiti ini menawarkan kursus dalam bidang sains dan teknologi membuka peluang kepada umat Islam belajar mengenai ilmu berkenaan juga membuktikan kepada orang luar bahawa masjid tidak hanya sebagai tempat ibadat malah lebih daripada itu.

Di samping itu, pembinaan terowong pejalan kaki dan stesen perkhidmatan awam seumpama sistem transit aliran ringan (LRT) seperti di Malaysia, turut diwujudkan bagi keselesaan jemaah bergerak sepanjang berada di kota suci itu.

Pada masa ini, kenderaan persendirian dibenarkan masuk ke kawasan masjid namun selepas LRT siap, semua kenderaan perlu diletakkan di Masjid Tana’im yang mana jemaah akan menaiki LRT itu untuk ke masjid terbabit.

Sedia lebih kemudahan untuk OKU beribadat

PROJEK pembesaran Masjidil Haram di Makkah akan menyaksikan kemudahan melakukan ibadat tawaf yang lebih selesa untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Pada masa ini, orang kurang upaya termasuk golongan tua dan uzur melakukan tawaf di tingkat dua bersama jemaah biasa dan dengan peningkatan kemudahan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi itu satu laman khas bagi mereka melakukan ibadat itu diwujudkan.

Perkara ini dimaklumkan Pensyarah Jabatan Landskap, Kulliyah Seni Bina dan Reka Bentuk, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Ismawi Zen pada syarahan berhubung pembangunan semula kota Makkah, baru-baru ini.

Profesor Ismawi adalah antara enam arkitek dari empat negara yang dipilih menganggotai Panel Antarabangsa Untuk Pembesaran Masjidil Haram yang mana kerja pembinaan bermula September lalu.

Bekas timbalan rektor perancangan dan pembangunan UIAM itu berkata, selain kemudahan OKU, satu lagi ciri menarik projek itu adalah pengenalan kepada satu sistem yang membuatkan jemaah menggunakan air dalam jumlah minimum untuk berwuduk, sekali gus mengurangkan pembaziran.

Beliau berkata, kajian menunjukkan purata seorang jemaah menggunakan 1.5 liter air untuk berwuduk.

“Melalui sistem ini seseorang jemaah hanya akan menggunakan 0.5 liter air saja yang bersesuaian dengan ajaran Islam iaitu mengajar umatnya supaya tidak membazir dalam apa juga keadaan,” kata nya.

Katanya, projek pembesaran Makkah al-Mukarramah ini menggunakan teknologi tinggi bagi menaik taraf infrastruktur yang ada ke tahap lebih baik dalam memberi keselesaan kepada jemaah haji dan umrah yang datang mengunjungi tempat suci itu untuk melakukan ibadat.

Ismawi berharap jemaah yang berkunjung ke sana tidak hanya melakukan ibadat semata-mata tetapi menghayati setiap rukun Haji yang dilaksanakan kerana Masjidil Haram satu ketika dulu pernah menjadi pusat pengajian ilmu dan berkembang menjadi pusat pengumpulan cendekiawan dan masyarakat.

Sejarah pembesaran Masjidil Haram pada era moden:

  • Fasa pertama dilakukan pada 1955 atas arahan Raja Abdul Aziz, pengasas Arab Saudi.
  • Pada 1988 pula, Raja Fahd Abdulaziz Al Saud mengarahkan pembesaran kawasan solat dari 152,000 kepada 356,000 meter persegi.
  • Projek pembesaran kali ketiga ini dilakukan di bawah kepimpinan Raja Abdullah Abdul Aziz di bawah tanggungan penuh Kerajaan Arab Saudi.

    Empat garis panduan (larangan) kerajaan Arab Saudi dalam merancang pembangunan di Masjidil Haram iaitu:
    1) Larangan mengubah suai Kaabah.
    2) Lokasi Saie iaitu antara Bukit Safa dan Marwah.
    3) Kedudukan telaga Zam Zam.
    4) Sempadan tanah haram.

    Empat pertimbangan yang diambil kira:
    1) Konsep mampan.
    2) Pembangunan kerohanian
    3) Sejarah
    4) Kapasiti.

  • Sejarah pembesaran Masjidil Haram

    dari Utusan

    dijangkakan lapan hingga 10 juta jemaah haji mengunjungi Masjidil Haram, Mekah menjelang lima tahun akan datang.

    SEWAKTU Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan puteranya, Ismail a.s. mendirikan Kaabah atas perintah Allah SWT, ia adalah sebuah bangunan yang didirikan di tengah-tengah kawasan terbuka. Kedudukannya ini mendefinisikan arah kiblat umat Islam.

    Pada masa itu solat dan tawaf dilakukan di kawasan yang terbuka. Malah binaan bangunan ini tidak berubah-ubah sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW.

    Had ruang terbuka ini ditentukan oleh kawasan kediaman dan bangunan-bangunan komersial yang semakin berkembang dari semasa ke semasa di sekelilingnya.

    Malah pelaksanaan ibadat sa’ie telah dilakukan sepanjang lorong sempit yang selari dengan kedai-kedai dan rumah-rumah yang terletak di bahagian antara bukit Safa dan Marwah.

    Kini ruang terbuka tersebut telah diubah menjadi laman dalam (courtyard) sebuah masjid agung iaitu Masjidil Haram, Mekah.

    Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas seperti sekarang.

    Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.

    Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.

    Kaum Quraisy yang merupakan ketua puak Arab direkodkan adalah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pembesaran pertama sekeliling Kaabah iaitu pada 604. Diikuti sekurang-kurangnya 10 fasa pembesaran Masjidil Haram.

    Yang pertama padan zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar ini telah menetapkan sempadan dan yang terakhir dilakukan semasa pemerintahan Al-Malik Fahd, kerajaan monarki Arab Saudi yang kelima.

    Walau bagaimanapun, sehingga pembesaran pertama pada 1955 di bawah Raja Abdulaziz Al-Saud, masjid itu hanyalah sekadar ruang terbuka yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan beratap yang bersebelahan, sekali gus menandakan sempadan.

    Khalifah ketiga, Othman bin Affan merancang semula terutamanya untuk ruang tawaf dengan merobohkan khemah-khemah yang kurang penting.

    Pada 1988, sekali lagi Masjidil Haram melalui pembesaran secara besar-besaran pada masa pemerintahan Al-Malik Fahd. Selepas perluasan itu, keluasan Masjidil Haram menjadi 117,480 meter persegi iaitu 16,745 peratus lebih besar saiznya pada zaman Baginda Rasulullah SAW.

    Penambahan kawasan lantai yang lebih teguh serta pertama kalinya diperkenalkan pengunaan penghawa dingin merupakan pembesaran kali kedua Masjidil Haram.

    Pembesaran kali kedua ini juga melibatkan kawasan berbumbung yang terbuka untuk tujuan solat dan tawaf serta pelebaran perkarangan di pintu gerbang Bab Al-Malik dan Bab al-Salam.

    Hamparan jernih batu marmar yang berkilat di laluan perkarangan pintu masuk turut memberi keselesaan kepada tetamu Allah terutamanya sewaktu mendirikan solat di sebelah malam.

    Namun yang paling penting ialah penambahan penyediaan kemudahan tandas dan tempat berwuduk yang dibina di bahagian bawah tanah, telah berjaya menjadikan urusan jemaah haji lebih selesa dan dapat memberi tumpuan kepada penyerahan diri kepada Allah SWT.