Agong Rasmi Masjid Asy-Syakirin KLCC

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Asy-Syakirin, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Jalan Pinang di sini hari ini.

Seri Paduka turut menunaikan solat Jumaat bersama 12,000 jemaah di masjid yang lebih dikenali sebagai ‘Permata di Dalam Taman’ itu kerana kedudukannya yang strategik dan mempamerkan ciri-ciri bina Islam yang indah termasuk mendapat sentuhan pengukir dari Uzbekistan.

TUANKU Mizan Zainal Abidin memasuki ruang masjid diiringi Jamil Khir Baharom selepas baginda berkenan merasmikan Masjid Asy Syarkirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jalan Pinang, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ASWAD YAHYA

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong kira-kira pukul 12.45 tengah hari disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir berkata, Masjid Asy-Syakirin dibina bagi memberi kemudahan kepada komuniti setempat serta keprihatinan kerajaan melalui Jawi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai penggerak dan ejen utama dalam pembangunan serta pengurusan hal ehwal Islam.

Katanya, Masjid Asy-Syakirin kini dijadikan pusat sehenti bagi komuniti setempat untuk menyemarakkan lagi aktiviti keagamaan selaras dengan peranan masjid meningkatkan syiar Islam.

”Justeru, barisan kepimpinan dan pengurusan masjid adalah diharapkan dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam menggerakkan aktiviti masjid yang dapat menterjemahkan semangat ukhuwah untuk membina masyarakat madani yang lebih komprehensif.

”Semoga dengan pengisian program-program seperti keagamaan, ia dapat meningkatkan kegiatan pengimarahan masjid supaya ia dihayati oleh setiap individu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian.

Masjid Asy-Syakirin pada mulanya didaftarkan sebagai sebuah surau pada 12 Julai 1999 untuk kegunaan petugas Petronas, sebelum dinaik taraf sebagai masjid yang ditadbir oleh MAIWP.

Sementara itu, Tuanku Mizan berkenan mencemar duli bersalaman dengan jemaah yang hadir sebelum meninggalkan majlis kira-kira pukul 2.10 petang.

Leave a comment