Tag Archives: Air

Pokok Pait (Sabu) Di Masjid Bukit Besar Keluarkan Air (2)

Dipetik dari Harian Metro

KUALA TERENGGANU: Bunyinya pelik, tetapi benar apabila sepohon pokok yang dipanggil pokok pait dikalangan penduduk tempatan dekat tanah perkuburan Masjid Bukit Besar, di sini, mengeluarkan air seperti ‘air mata’ sehingga penduduk kampung berebut-rebut mengambil air daripada pokok berkenaan.

Selain itu, pokok yang sudah lima hari mengeluarkan cecair putih berbuih dan manis seakan-akan rasa buah itu turut menarik minat penduduk dari kampung lain untuk merasainya.
Seorang warga emas, Zahara Mohamad, 67, dari Kampung Bukit Besar berkata, pokok itu disedari mengeluarkan air pada hari Sabtu lalu, tetapi ketika itu air yang dikeluarkan pahit dan berbau masam.

“Namun kini air itu sudah manis seakan-akan air nira dan berbau seperti santan.

“Kebiasaannya daun pokok itu dijadikan ubat oleh penduduk kampung, namun khasiat air pokok berkenaan belum diketahui,”katanya.

Azaz Abdul Rahman, 53, dari Kampung Bukit Besar berkata, dia cuba mengambil air itu dan meletakkannya diatas jari sebelum kira-kira sepuluh minit kemudiannya, urat-urat kecil di jarinya timbul.

“Kemungkinan air daripada pokok itu mempunyai khasiatnya tersendiri kerana jika diikutkan, daun pokok itu digunakan penduduk kampung untuk membuat ubat.

Pokok Pait (Sabu) Di Masjid Bukit Besar Keluarkan Air (1)

Dipetik dari Kosmo! Online


ORANG ramai mengambil titisan air dari sebatang pokok berhampiran Masjid Raja, Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu semalam.

Air mata pokok Sabu

KUALA TERENGGANU – Sebatang pokok Sabu atau pokok India yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun berhampiran Masjid Raja, Bukit Besar di sini, menjadi tumpuan orang ramai sejak tiga hari lalu apabila dahan-dahannya dilihat mengalirkan air tanpa henti.

Kejadian itu semakin menarik apabila orang ramai mendakwa terdengar pokok itu mengeluarkan bunyi seperti orang menangis pada waktu malam.

Ekoran itu, pokok yang terletak dalam kawasan tanah perkuburan Islam di masjid berkenaan menjadi tumpuan penduduk siang dan malam.

Seorang penduduk, Norhayati Husin hairan kerana pokok yang tidak mengeluarkan buah itu tiba-tiba mengeluarkan air berbuih dan berbau seperti air kelapa muda.

Guru di pusat fardu ain kawasan itu, Azrul Alias pula menceritakan, ia berlaku selepas proses memajukan seluruh kawasan tersebut dimulakan sejak seminggu lalu.

“Baru minggu lalu penduduk mendapat bayaran untuk membangunkan kawasan ini termasuk masjid dan kawasan tanah perkuburan,” katanya.