Tag Archives: roboh

Masjid Raja Bukit Besar Akan Tinggal Sejarah

Selepas posting terdahulu berhubung satu lagi masjid bakal dirobohkan di Kuala Terengganu, ramai bertanya kesahihan laporan saya. Ada yang tidak percaya.

Sebaik pulang ke Kuala Terengganu semalam saya terus ke Masjid Raja Bukit Besar untuk solat Asar. Dan sememangnya kerja-kerja awal untuk merobohkan masjid tersebut sudahpun bermula.

Beberapa rumah di sekeliling masjid yang dikatakan telah diambilalih untuk projek pembinaan semula masjid ini telah mula dirobohkan.

Dari sisi kanan masjid - beberapa buah rumah sedang dirobohkan

Dari sisi kanan masjid - beberapa buah rumah sedang dirobohkan

Apakah perlu sesebuah masjid penuh sejarah yang melibat pemerintahan seorang sultan di suatu masa dahulu dilenyapkan? Apa akan jadi dengan warisan sejarah kita? Apa yang akan jadi dengan sedekah jariah orang-orang terdahulu untuk saham mereka yang kini kesemuanya telah tiada lagi untuk menokok tambah pahala mereka?

Permadangan dari sisi barat - kawasan letak kereta

Permandangan dari sisi barat - kawasan letak kereta

Masjid ini dipercayai sudah berumur lebih 80 tahun dikatakan bakal menyembah bumi awal tahun depan.

Wajar juga Persatuan Sejarah Terengganu dan mana-mana badan lain yang ingin memelihara warisan sejarah Islam dan pusaka tradisi Melayu menggerakkan bantahan terhadap usaha merobohkan masjid yang telah bertapak dengan niat jariah ramai yang telah pergi. Janganlah kita putuskan sadaqah mereka.

Satu Lagi Masjid Bakal Dirobohkan

Setelah ranapnya dan tiada lagi Masjid Raja Chendering yang asal kini satu lagi warisan sejarah di Terengganu bakal dihilangkan dari muka bumi. Masjid Raja Bukit Besar yang bakal menerima nasib yang sama mempunyai sejarahnya yang tersendiri yang gemilang.

Dalam pada bermulanya hanya sebuah masjid kayu kini ianya telah melebar dengan tambahan bahagian kiri dan kanan berstruktur baru berdasarkan campuran konkrit dan kayu sambil mengekalkan bahagian asal yang tetap masih kukuh. Di antara keunikan masjid ini ialah menara konkritnya yang juga menjadi logo rasmi masjid.

gambar dari Suara Tradisi Melayu Terengganu

Sayangnya dalam usaha mencipta nama untuk memahat sejarah ada segelintir tokoh negeri berasa bangga dengan melihat bangunan-bangunan baru menggantikan masjid-masjid yang bersejarah. Masjid-masjid yang asalnya diasahkan atas titik peluh dan sadaqah jariah orang-orang dulu ingin dirobohkan dengan sewenang-wenangnya.

Masjid ini dipercayai sudah berumur lebih 80 tahun digelar Masjid Raja kerana menjadi masjid rasmi raja Terengganu pada suatu masa dahulu.

Di hadapan masjid inilah bersemadinya kedua ibu bapa bonda saya, bapa saudara serta beberapa lagi saudara mara saya. Di perkarangan perkuburan masjid ini juga heboh baru-baru ini dengan peristiwa pokok pait mengeluarkan air bagaikan tangisan – hinggakan ada yang sesetengah masyarakat sekitar itu bertanya apakah “tangisan” tersebut kerana membantah nasib yang bakal menimpa masjid tersebut.

Wajar juga Persatuan Sejarah Terengganu dan mana-mana badan lain yang ingin memelihara warisan sejarah Islam dan pusaka tradisi Melayu menggerakkan bantahan terhadap usaha merobohkan masjid yang telah bertapak dengan niat jariah ramai yang telah pergi. Janganlah kita putuskan sadaqah mereka.