Masjid at-Taqwa, Kota Marudu tumpuan mualaf dalami Islam

dipetik dari http://utusan.com.my

Sebahagian kaum hawa yang mengikuti kelas agama pada setiap Sabtu di Masjid Attaqwa, Kota Marudu, Sabah.


Masjid At-Taqwa di pekan Kota Marudu, Sabah, bukan sahaja menjadi lambang kemegahan syiar Islam di daerah itu tetapi juga merupakan pusat bagi golongan mualaf mendalami agama Islam.

Ketiadaan bangunan yang khusus untuk golongan itu belajar agama di Kota Marudu menyebabkan masjid berkenaan menjadi pusat utama menjalankan kegiatan keagamaan.

Pada setiap Sabtu bermula pukul 9 pagi hingga 12.30 tengah hari, lebih kurang 13 kelas mengajar asas-asas Islam dijalankan di situ yang dimulakan sejak tahun lalu.

Pengajian agama secara percuma itu melibatkan kira-kira 12 tenaga pengajar terlatih iaitu 10 ustaz dan selebihnya ustazah yang menjalankan tugas itu secara sukarela dan ikhlas.

Selain tidak bergaji, lebih separuh daripada tenaga pengajar di situ adalah juga saudara baru yang telah terlebih dahulu mendapat hidayah Islam.

Atas kesedaran dan tanggungjawab untuk membimbing saudara-saudara baru, para ustaz dan ustazah yang terdiri daripada bekas kakitangan kerajaan itu, mengenepikan sebarang bentuk ganjaran.

Apa yang lebih penting bagi mereka adalah memastikan saudara baru mendapat kefahaman serta mengamalkan Islam selain membela kebajikan golongan itu agar tidak dibiarkan.

Majoriti saudara baru yang memeluk Islam merupakan etnik Dusun yang kebanyakannya sebelum ini menganuti agama Kristian, mengamalkan pagan dan juga tidak beragama.

Umat Islam Dusun di Kota Marudu kini mencapai kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penduduk di daerah tersebut yang majoritinya adalah penganut Kristian.

Menurut Penyelaras Program-program Mualaf Sabah, Mohd. Nazri Abdullah, pada peringkat awal seramai 450 saudara baru belajar agama di masjid itu tetapi kini yang tinggal hanya 216 orang.

Beliau berkata, pengurangan itu disebabkan ketidakmampuan mereka untuk datang ke situ kerana untuk ke masjid tersebut memerlukan belanja bagi membayar tambang teksi sapu.

Katanya, disebabkan kebanyakannya miskin dan tinggal berdekatan pinggir-pinggir bukit serta tepi sungai di kampung pedalaman, keadaan itu menyukarkan mereka untuk keluar ke pekan.

“Tambahan pula, sebagai masyarakat tani, mereka terpaksa membanting tulang di sawah bagi menyara hidup seharian dan jika tidak berbuat demikian, sumber pendapatan hilang,” jelasnya.

Sebelum ini kata Nazri, setiap daripada mereka dijanjikan oleh Pusat Zakat Sabah menerima RM200 sebulan selaku saudara baru bagi meringankan beban mereka.

“Melalui bantuan kewangan itu juga mereka ini dapat membayar tambang pergi dan balik ke kelas pengajian agama mingguan di masjid ini dengan teksi sapu iaitu RM30.

“Pusat zakat berjanji akan membayar setiap bulan tetapi bayaran yang diterima pada peringkat awal adalah pada Januari lalu dan ini membuatkan usaha mereka untuk belajar agama terjejas,” kesalnya.

Jelasnya, akibat tidak menerima wang zakat seperti yang dijanjikan, ramai yang tidak lagi pergi belajar agama ke situ akibat kesempitan hidup.

Bagaimanapun kata Nazri, pihak zakat hanya membayar baki yang tertunggak pada bulan ini, iaitu selepas pihak media mendedahkan perkara tersebut.

“Ini boleh dianggap sebagai duit hari raya bagi mereka kerana mendapat bayaran tertunggak selama lima bulan itu pada bulan Ramadan,” katanya yang juga pendakwah bebas.

Dalam pada itu kata Nazri, sepanjang Ramadan, bagi mengimarahkan surau atau masjid melibatkan mualaf, Yayasan Iftimam mengadakan pelbagai aktiviti.

Jelasnya, yayasan itu yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, turut menganjurkan majlis berbuka puasa, solat terawih dan tazkirah sepanjang bulan puasa.

“Yayasan ini sudah tiga tahun berturut-turut menganjurkan pelbagai aktiviti di Sabah pada setiap bulan Ramadan dan kali ini, sebanyak 33 program sudah dilaksanakan,” katanya.

Sebanyak 13 daripada program itu dijalankan surau dan masjid di Ranau, Kota Marudu, Matunggong, Semporna, Papar dan Kinarut manakala selebihnya di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) bahagian Kota Marudu, Nonizawati Mahmud berkata, pihaknya ditugaskan memantau kelas-kelas agama di situ setiap minggu.

Katanya, JHEINS berada di situ adalah bagi memastikan kelancaran kelas-kelas agama selain memberi sebarang bantuan yang diperlukan.

Nonizawati berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa sebuah bangunan khas bagi menempatkan mualaf akan dibina berdekatan masjid itu bagi memudahkan semua aktiviti mereka.

“Malah tapaknya pun sudah ada dan dirancang bangunan itu akan dibina bertingkat. Semua kelas pengajian agama di sini akan dipindahkan ke bangunan baru itu apabila siap kelak,” katanya.

Borang

Mengenai masalah sebilangan saudara baru yang tidak pernah mendapat bantuan zakat, beliau berkata, hal tersebut disebabkan borang yang tidak lengkap.

Katanya, kebanyakan borang yang diisi bagi melayakkan menerima zakat tidak lengkap khususnya pada bahagian pengakuan masuk Islam iaitu tarikh dan sijil mengenai perkara itu.

“Disebabkan borang tidak lengkap, sukar bagi pihak JHEINS memproses borang mereka sehingga ke peringkat Pusat Zakat Sabah. Tarikh, pengakuan dan sijil itu sangat penting,” ujarnya.

Tenaga pengajar di di situ, menggunakan pelbagai teknik mengajar bagi memastikan golongan mualaf dapat memahami ajaran Islam secara tepat dan berkesan.

Salah seorang ustazah yang ditemui, Zaleha Ginsat, 69, berkata, bagi peringkat permulaan, beliau menerangkan apa itu Islam dan menghuraikan segala tuntutan dan asas-asas Islam.

Katanya, perkara itu dilakukan beberapa kali sehingga saudara baru benar-benar faham. Kemudian mengajar jawi dan muqaddam bagi membolehkan mereka membaca al-Quran.

“Kalau mereka tidak tahu membaca atau menulis, kami akan bacakan sehingga 10 kali dan meminta mereka mengikut dan menghafalnya,” kata bekas guru ini.

Semasa menjalankan kegiatan dakwah di kampung-kampung kata Zaleha, beliau memberi penerangan yang cukup kepada mereka yang berminat dengan agama Islam.

Katanya ini kerana, golongan sasar itu turut didekati para pendakwah daripada agama lain dan meminta mereka membezakan antara ajaran Islam dengan agama lain.

“Tidak ada paksaan dalam agama, selepas diberi penerangan, boleh dikatakan semuanya akan memilih Islam,” katanya yang telah memeluk Islam lebih 40 tahun lalu.

Bagi Ustaz Abd. Mutalib Abdullah, 51, pula, kebanyakan yang memeluk Islam di daerah berkenaan begitu bersungguh-sungguh ingin mempelajari dan mengetahui keindahan Islam.

Beliau yang sudah mengislamkan lebih 158 orang di tempatnya di Kampung Parung, berkata, setiap mereka yang menerima hidayah akan diwajibkan datang ke masjid itu untuk belajar agama.

Masalah ketiadaan bangunan umum itu bukan satu perkara baru dan di Sabah, cuma ada dua lokasi pengajian untuk saudara baru iaitu Pusat Latihan Dakwah di Keningau dan Kudat.

Bagaimanapun, pusat latihan hanya mengambil mualaf yang berkelayakan sahaja iaitu mereka yang lulus dan mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keadaan itu menyebabkan saudara baru yang tidak mempunyai SPM berhadapan masalah untuk mendalami ilmu agama.

“Kita berharap pihak yang prihatin akan membina bangunan baru yang umum untuk saudara baru. Pada masa yang sama, salah sebuah pusat latihan sedia ada perlu dibuka kepada umum,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang wang atau menghulurkan bantuan seperti sejadah, telekung, al-Quran dan sebagainya bolehlah menghubungi Nazri di talian 019-8827449.

3 responses to “Masjid at-Taqwa, Kota Marudu tumpuan mualaf dalami Islam

  1. masalah muallaf dgn agihan zakat, prioriti pada badan-badan pautan perlu di kaji khusus sejajar dengan imej islam sebenar.

  2. MOHD TAHIR VOO BIN ABDULLAH

    Alhamdulillah bersyukur mualaf disekitar Kota Marudu kerana setelah memeluk Agama Islam ada tempat belajar. Untuk makluman di tempat saya daerah Beaufort. (Masjid Daerah Beaufort) ada juga program untuk Saudara Baru (Tititan Hijrah)
    setiap hari ahad jam 8 am sehingga 12.00 tgh ada kelas fekah, Tauhid dan kelas mengaji. Pada mulanya sambutan sanggat menggalakkan namu pada masa kini sambutan semakin dinggin. daripada hampir seratus orang kini yang aktif tidak sampai 25 orang. Alasan tiada tambang. Kesihankan. Diharap anggota pusat zakat turun padang melawat kami disini. Berdoa lah untuk kami supaya kelas ini pejalanannya tidak noktak pada tahun mendatang. wassalammu.

  3. MOHD TAHIR VOO BIN ABDULLAH

    Assalamualaikum Wr.Wb.
    Kepada sesiapa yang sudi membantu saya (selaku wakil Titian Hijarah Daerah Beaufort- (Muallaf)) menubuhkan cawangan Persatuan Mualaf Sabah di daerah Beaufort bolehlah menghubungi saya pada talian 0128374098 atau e-Mailkan kepada saya tunjukajar anda. sekiam Wassalamu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s